Apabila Sejarah Tercipta...

SEJARAH PENGURUSAN SEKOLAH 

Pada awal penubuhan, Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur dikenali sebagai Al-Madrasah Al-Arabiah An-Nur. Pada mulanya Al-Madrasah Al- Arabiah An-Nur merupakan sebuah Institusi Pendidikan berbentuk Akademik dan terletak berhampiran dengan pekan Tampok. Sekolah ini telah memberikan bimbingan kepada pelajar-pelajar yang gagal atau tidak mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Penubuhan Sekolah ini telah dapat memenuhi keperluan pelajar-pelajar yang tinggal berhampiran dengan sekolah seperti di Benut dan di Rengit yang ingin memperbaiki lagi keputusan peperiksaan mereka.

Bermula pada 1 Januari 1991, pentadbir sekolah telah memperkenalkan satu pengajian Akademik. Sambutan daripada ibu bapa untuk mendaftar anak-anak dalam Pengajian Arab amat menggalakkan. Namun kekurangan bilik darjah, menyebabkan pihak sekolah cuma dapat menerima pelajar untuk satu kelas sahaja. Dengan sambutan yang begitu memberangsangkan dari tahun ke tahun, lembaga Pentadbiran Sekolah telah membuat keputusan untuk mendaftarkan sekolah ini di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Pada 15 September 1995 permohonan sekolah ini telah diluluskan dan dikenali dengan nama Al-Madrasah Al-Arabiah An-Nur.

Pada tahun 1997, sebuah bangunan dua tingkat Sekolah Menengah Agama (Arab) An-Nur telah siap dibina di tapak yang baru di pekan Benut. Bangunan ini telah menempatkan pelajar-pelajar tingkatan satu bagi sesi 1997 seramai 100 orang.

Bermula tahun 2006, sekolah ini telah mendapat bantuan dari kerajaan yang merupakan hasil daripada cetusan idea Mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5 (Tun Abdullah Ahmad Badawi), bagi memperkasakan lagi sistem pengurusan Sekolah Agama Rakyat. Sebelum ini, sekolah menerima bantuan daripada Kerajaan Negeri (Jabatan  Agama Islam Johor) dan Kementerian Pelajaran Malaysia serta sumbangan masyarakat. Keistimewaannya, sekolah ini masih mengekalkan dwi kurikulum iaitu kurikulum KBSM dan kurikulum Maahad Bu’uth Al-Azhar, walaupun telah dijadikan Sekolah Agama Bantuan kerajaan (SABK) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Hasrat murni pendidikan yang ingin dicapai untuk memperkasakan lagi sistem pengurusan Sekolah Agama Rakyat ini menjadikan lagi pembentukan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, pengajaran dan pembelajaran yang kondusif ini dapat menyokong teras pembentukan individu ini terutama dari segi pemupukan ilmu, kemahiran dan nilai yang berkaitan aspek intelek dan emosi.

Dengan kewujudan rancangan pengajian sebegini rupa, diharapkan akan dapat memenuhi hasrat dan harapan ibu bapa dalam usaha memperlengkapkan diri anak-anak dengan ilmu dan kemahiran serta mendedahkan kepada anak-anak tentang pengetahuan dan pendidikan bersifat keagamaan yang sewajarnya bagi memperkukuhkan daya tahan diri dalam menempuh alaf baru.

 

Make a Free Website with Yola.